Kejayaan beregu Malaysia mencipta kejutan menewaskan lawan dari Indonesia telah meraih perhatian ramai termasuklah media luar negara.

Pada pusingan pertama Australian Open menyaksikan beregu campuran negara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee dijadualkan turun berdepan pasangan dari Indonesia, Rehan Naufal-Lisa Ayu Kusumawati di gelanggang empat pada Rabu.

Rehan-Lisa yang merupakan pilihan keempat kejohanan tampil cemerlang dalam aksi di set pertama untuk meraih kemenangan meskipun dicabar hebat oleh Hon Jian-Pei Kee dengan keputusan 26-24.

Namun, pasangan negara mula mengubah intensiti permainan dengan variasi serangan yang lebih tajam untuk merampas set kedua 21-17 untuk mengheret beregu Indonesia tersebut beraksi di set penentuan.

Hon Jian-Pei Kee tidak memberi sebarang ruang untuk lawannya itu bangkit dengan serangan dari pelbagai arah serta kesilapan yang dilakukan oleh Rehan-Lisa untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 21-14 dalam masa 70 minit.

Kejayaan pasangan negara yang menduduki ranking ke-49 dunia ini membuatkan ramai peminat badminton terkejut memandangkan status Rehan-Lisa yang merupakan beregu campuran ke-20 terbaik dunia ketika ini.

Media Indonesia turut berkongsi cerita yang sama tatkala melihat aksi mantap yang ditonjolkan oleh Hon Jian-Pei Kee untuk menghalang kemaraan gandingan Rehan-Lisa seawal pusingan pertama kejohanan.

Dengan kemenangan ini, Hon Jian dan Pei Kee berjaya menempah tiket ke pusingan 16 terbaik pada Khamis dan dijadualkan menentang pasangan tuan rumah, Timotius Elbert-Maureen Clarissa Wijaya untuk memburu tempat ke suku akhir.

Selain Hon Jian-Pei Kee, beberapa lagi wakil Malaysia bakal membawa cabaran negara di Australian Open ini dengan diketuai oleh jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia serta pasangan senior, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran.