Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah bangkit daripada kekecewaan tersingkir di pusingan pertama Malaysia Open 2024 dengan mara ke pusingan kedua India Open 2024.

Pearly-Thinaah berjaya mara selepas melepasi cabaran regu ke-24 dunia dari Taiwan, Lee Chia-hsin dan Teng Chun-hsun.

Dari segi rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada regu Taiwan itu dengan dua kemenangan daripada tiga pertemuan sebelumnya.

Meskipun hanya menang sekali daripada tiga pertemuan, itu langsung tidak menggentarkan Pearly-Thinaah.

Beregu negara yang menduduki ranking ke-12 dunia itu mendominasi permainan pada set pertama. Ini dibuktikan dengan kelebihan empat mata yang dipegang mereka pada kedudukan 12-8.

Pearly-Thinaah memastikan Chia-hsin dan Chun-hsun tidak dapat mengejar dengan meraih kemenangan 21-12.

Set kedua menyaksikan dominasi naib juara Hong Kong Open 2023 itu sukar dicabar regu Taiwan di atas gelanggang. Pearly-Thinaah makin selesa mendahului pada kedudukan 11-6.

Chia-hsin dan Chun-hsun cuba mengejar tetapi dominasi regu negara memastikan kemenangan 21-11.

Pearly-Thinaah bakal berdepan beregu wanita dari Jepun, Chiharu Shida dan Nami Matsuyama dalam pusingan kedua yang berlangsung esok.